PENDIDIKAN ADALAH PROSES SEPANJANG HAYAT
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama mesti memainkan peranan melaksanakan tanggung
jawab mengasuh, mendidik mengajar serta membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pewaris pelapis kepada generasi yang cemerlang
ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus membentuk anak-anak yang bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi
tetapi juga sebagai pejuang kepada amar makruf dan nahi mungkar, bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini sekaligus sebagai
ulamak pewaris para nabi.
Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak mereka adalah saham terbesar dalam
menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama.
Maka pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan
dunia yang serba canggih, dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan
dalam agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba menterjemahkannya dalam agenda pendidikan anak-anak.
Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang dipikul sebagai amanah yang mana hasilnya yang
manis akan kita kecapi sebagai ganjaran kepada kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita telan
sebagai bukti kegagalan kita sendiri.
Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, tidak terbatas
dalam lingkungan rumah tangga semata-mata, sedangkan di luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan orang lain, sedangkan
dalam masa yang sama kita akan marah kalau anak kita dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang lain. Tetapi peranan ibu
bapa itu bukan sahaja harus dimainkan terhadap anak mereka sendiri semasa di dalam rumah dan di luar rumah malah terhadap
anak-anak jiran, rakan, hingga kepada sesiapa sahaja, sesuai dengan firman Allah yang terdapat dalam Suratul 'Asr yang sering
kita baca, iaitu berpesan-pesan kepada (melakukan) kebenaran dan berpesan-pesan kepada (mengamalkan) sifat kesabaran, sebagai
bukti kita orang yang beriman dan beramal soleh, golongan manusia yang beruntung. Manakala manusia yang bersikap sebaliknya
adalah golongan orang yang rugi.
Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah anak-anak kita, tetapi sebenarnya yang gagal adalah
percubaan kita yang mungkin sebelum ini terdapat cacat- cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah berani untuk terus mencuba.
Jangan sekali-kali kita gagal untuk meneruskan percubaan demi percubaan disamping terus bertawakkal dan bermohon doa kepada
Allah SWT, mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya Insya Allahu Ta'ala Amin
ya Rabbal 'alamin.
|